Friday, 3 April 2020

COVID-19 : Terengganu Sumbang RM50,000 Untuk Perantau

SHARE
Setiausaha Akhbar Menteri Besar menyampaikan sumbangan kepada wakil PERANTAU.

KUALA TERENGGANU, 3 April - Kerajaan Terengganu memperuntukan bantuan sebanyak RM50,000 untuk diagihkan kepada anak Terengganu di luar negeri yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Setiausaha Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), Dr 'Awasi Mohamad berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) utama bagi memastikan bantuan tersebut sampai kepada golongan sasar.

"Kita sedang mengumpul data dan bilangan keluarga yang benar-benar terkesan dalam situasi ini.

"Insya-Allah sekiranya semua berjalan lancar, bantuan dianggar dapat disalurkan pada minggu depan," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keutamaan akan diberikan kepada keluarga yang hilang pendapatan akibat diberhentikan, hilang gaji harian dan tidak dapat bekerja atau berniaga.

"Keluarga yang positif atau pesakit dalam siasatan COVID-19 (PUI) dan juga ibu tunggal yang mempunyai anak-anak kecil tidak akan dilupakan.

"Pengumpulan maklumat akan dibuat secara berpusat sebelum diagihkan kepada negeri-negeri mengikut bilangan keluarga yang terjejas," jelas beliau.

Katanya lagi, beliau menghargai keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu rakyat di perantauan yang sedang mengalami kesukaran untuk meneruskan hidup.

"Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat meringankan beban rakyat yang terhimpit.

"Diharapkan juga peruntukan dapat digandakan lagi memandangkan PERANTAU menjangkakan lebih ramai rakyat yg terkesan akibat daripada lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," tambah beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: