Monday, 6 April 2020

COVID-19 : PM Umum Pakej Tambahan RM10 Bilion Bantu PKS

SHARE
Add caption

PUTRAJAYA, 6 April - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Langkah Tambahan Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau “PRIHATIN TAMBAHAN” berjumlah RM10 bilion, hari ini.

Muhyiddin berkata beliau berharap pakej tambahan diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan PKS dan seterusnya menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan.

Daripada jumlah itu, peruntukan program subsidi upah ditambah sebanyak RM7.9 bilion iaitu daripada RM5.9 bilion yang diperuntukkan sebelum ini kepada RM13.8 bilion.

Di bawah inisiatif tambahan ini, Muhyiddin berkata, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah seperti berikut: -

“Bagi syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dikekalkan. Namun, bilangan maksimum pekerja yang layak untuk menerima subsidi akan ditingkatkan daripada 100 orang kepada 200 orang pekerja.

“Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja.

“Akhir sekali, bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja. Melalui penambahbaikan ini, syarikat-syarikat akan menerima lebih banyak manfaat dan bantuan,” katanya lagi.

Tambah beliau, bantuan ini adalah untuk selama 3 bulan dan dikhususkan kepada majikan yang telah berdaftar dengan SSM atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari 2020 dan mendaftar dengan PERKESO.

"Justeru, kira-kira 4.8 juta pekerja dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

"Bagi majikan yang memilih untuk menerima bantuan ini, mereka disyaratkan untuk mengekalkan pekerja mereka sekurang-kurangnya untuk tempoh 6 bulan, iaitu dalam tempoh 3 bulan semasa menerima subsidi upah dan 3 bulan selepas itu," ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: