Wednesday, 8 April 2020

COVID-19: PKP Diperketatkan Bagi Pastikan Hulu Terengganu Kekal Zon Hijau

SHARE
Mohd Adli


HULU TERENGGANU, 8 April-Tahap pematuhan rakyat Hulu Terengganu terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjaya meletakkan daerah berkenaan dalam kategori paling patuh pada PKP di Terengganu sejak ia dilaksanakan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata kepatuhan terhadap PKP juga adalah kunci yang  menentukan kejayaan daerah yang merupakan zon hijau yang mencatatkan kosong kes COVID19 dalam negeri ini.

Katanya, untuk itu PKP di Hulu Terengganu akan diperketatkan lagi bagi memastikan tahap pengawalan COVID19 di daerah ini terkawal dan kekal berada dalam zon hijau.

"Dari PKP fasa 1 dan fasa 2, daerah Hulu Terengganu masih lagi menunjukkan kosong kes bagi covid19 dan merupakan antara kawasan hijau terutama di negeri ini.

 "Situasi ini memerlukan kita berusaha lebih kuat lagi untuk menentukan dan mengekalkan laporan kosong ini untuk daerah Hulu Terengganu.

"Jadi, dalam melaksanakan penegasan ini, pihak polis melakukan kerjasama yang baik dengan Angkatan Tentera Malaysia(ATM) dan lain-lain agensi seperti RELA, Bomba, Pejabat Daerah dan Penguatkuasa Majlis Daerah mengikut perancangan yang telah ditetapkan oleh Pegawai Daerah sebelum ini untuk mengekang penularan COVID19," ujarnya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui di IPD Hulu Terengganu hari ini.

Mohd Adli mendengar laporan pegawai yang bertugas di pondok kawalan di Kuala Berang


Katanya, sehingga kini perancangan bersama itu berada atas dasar yang betul kerana ia berjaya mengekang penularan kes di daerah hulu terengganu.

Menurut Mohd Adli, semuanya mengikut jadual dan buat masa sekarang terdapat tujuh sekatan jalan raya iaitu di laluan-laluan utama masuk ke Hulu Terengganu.

"Hanya keluar rumah apabila perlu sahaja dan membawa bukti perjalanan tersebut, kalau tidak ada bukti, tidak boleh memberi pengesahan , maka kita akan arahkan untuk berpatah balik di sekatan-sekatan jalan raya.

"Manakala untuk kes-kes tangkapan, kesalahan sempena PKP di Daerah Hulu Terengganu, setakat ini adalah kosong lagi dan angka kosong ini bukan kerana pihak PDRM tidak membuat pemeriksaan dan kawalan, tetapi kita dapati angka kosong ini berpunca daripada pematuhan daripada masyarakat itu sendiri dan mereka benar-benar patuh," jelasnya lagi.

Selain itu katanya, kerjasama daripada pemimpin-pemimpin masyarakat, ketua kampung, pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), badan bukan kerajaan(NGO) di kawasan daerah ini juga amat baik dengan pihak polis.

"Mereka sentiasa berhubung, memberi maklumat, mengemukakan aduan berkenaan apa jua kesalahan ataupun kejadian-kejadian yang berlaku dengan pelanggaran PKP ini dan pihak polis akan segera mengambil tindakan, pergi ke tempat-tempat yang diadukan itu, cuba untuk membuat pemantauan dan pemeriksaan.

"Alhamdulillah, dengan ada kerjasama ini , kita lihat ia menjadi salah satu punca daerah Hulu Terengganu bagaimana pematuhan PKP begitu tinggi dan ekoran daripada itu, kes COVID19 di daerah ini adalah kosong," tambah beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: