Wednesday, 1 April 2020

COVID-19 : Pelawat Tidak Dibenarkan Ke Zon Operasi TDM Terengganu

SHARE
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam tinjauannya ke Akademi TDM, Sungai Tong, Setiu, baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU, 1 April - Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memuji usaha Kumpulan TDM Berhad tidak membenarkan pelawat dalam zon operasi anak syarikat Kerajaan Terengganu tersebut dalam tinjauannya di sini baru-baru ini.

Beliau sendiri turun padang dalam usaha memastikan industri minyak sawit terutamanya ladang dan kilang beroperasi dengan lancar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Kumpulan TDM Berhad menerima kunjungan dari Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bertempat di Akademi TDM, Sungai Tong, Setiu, Terengganu selain lawatan beliau ke Kilang Kelapa Sawit Sungai Tong dan pertemuan dengan pekerja dalam bilangan yang dihadkan selaras dengan pelaksanaan PKP.

Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn Bhd, Jailaini Che Kar berkata, TDM berusaha memastikan ladang dan kilang dikendalikan berdasarkan protokol-protokol yang telah ditetapkan di bawah PKP bagi mencegah virus COVID-19 yang sedang merebak dengan meluas.

"Untuk membanteras pandemik ini dan mematuhi PKP, kami memantau pergerakan pekerja ladang dan kilang. Kakitangan dan pekerja tidak dibenarkan meninggalkan zon operasi. Bagi mereka yang telah meninggalkan dan kembali semula, mereka akan dikuarantin selama 14 hari. Mereka diletakkan di kawasan khas untuk mengelakkan hubungan interaksi dengan orang lain.

"Di samping itu, pelawat tidak dibenarkan masuk ke zon operasi. Dalam situasi terhad, pelawat yang telah diperiksa tahap kesihatan mereka akan dibenarkan memasuki zon operasi tetapi mereka akan dikuarantin selama 14 hari," katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.

Tambahnya, bagi pekerja yang tinggal di luar zon operasi, mereka akan bekerja di kawasan
tertentu dan tidak akan digabungkan dengan mereka yang tinggal di dalam zon operasi.

"Kami telah membuat beberapa pengaturan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi. Kesemua bekalan akan dibawa secara sistematik ke zon operasi ladang dan kilang. Interaksi dengan pembekal akan dihadkan selepas meneliti status kesihatan mereka.

"Bagi membantu kerajaan dalam mencegah penularan penyakit ini, syarikat Kumpulan TDMB yang terdiri daripada syarikat perladangan, yang juga merupakan anggota Malaysian Palm Oil Association, serta syarikat penjagaan kesihatan, telah membuat sumbangan dalam bentuk topeng muka, termometer dan pembersih tangan kepada YBM (Yang Berhormat Menteri).

"Sumbangan ini secara tidak langsung membantu YBM untuk membantu meringankan beban orang ramai terutamanya dalam mencegah dan meminimumkan risiko virus COVID-19 dari terus merebak," jelasnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: