Friday, 10 April 2020

COVID-19: Kerajaan Terengganu Bantu Wartawan Terjejas

SHARE
Setiausaha Akhbar Menteri Besar menyampaikan cek sumbangan kepada Presiden KAWAT.


KUALA TERENGGANU,10 April- Dalam menghadapi tekanan pandemik Covid-19, Kerajaan Terengganu turut menghulurkan bantuan kepada wartawan 'stringer' (sambilan) yang tidak bergaji tetap dalam negeri tersebut.

Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Khairul Azlam Mohamad berkata, sumbangan yang diberikan amat bermakna kepada petugas-petugas media.

"Kami merakamkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, atas sumbangan bantuan kecemasan sebanyak RM10,000.

"Selain daripada anggota keselamatan dan petugas jabatan kesihatan di hospital-hospital diiktiraf sebagai ‘frontlines’, sebenarnya warga media seperti wartawan dan jurugambar juga merupakan petugas hadapan," katanya.

Jelasnya, mereka adalah yang bekerja secara profesional dan tertakluk kepada etika kewartawanan kemungkinan terdedah dengan jangkitan wabak itu ketika di lapangan.

Beliau menyatakan, sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan nasib sebahagian pengamal media yang memerlukan.

"Sumbangan ini akan diagihkan kepada wartawan sambilan yang tidak mempunyai gaji tetap dan terjejas kerana PKP.

“Kami berterima kasih kerana pengorbanan warga media terutama yang bertugas di lapangan turut dihargai kerajaan negeri," katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kecemasan Covid-19 oleh kerajaan Terengganu kepada Kelab Wartawan Media Terengganu, di Wisma Darul Iman, semalam.

Cek sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu, Adram Musa dan disaksikan Timbalan Presiden KAWAT, Shuhaimi Ahmad.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: