Wednesday, 1 April 2020

COVID-19 : DUN Bandar Selesaikan Fasa Ketiga Bantuan Pakej Rangsangan Terengganu Cakna

SHARE


Oleh: Shahril Nizam

KUALA TERENGGANU, 1 April– Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar kini dalam proses menyelesaikan bantuan fasa ketiga kepada golongan terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, bantuan melalui Pakej Rangsangan Terengganu Cakna itu mengutamakan mereka yang amat memerlukan, yang terjejas kerana tidak dapat mencari rezeki dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Banyak rungutan dan aduan yang kami terima mengatakan bahawa mereka tidak mendapat bantuan, namun apabila kami rujuk kepada data-data, ternyata bahawa mereka adalah golongan yang tidak layak mendapat bantuan, terutamanya mereka yang memiliki pendapatan tetap.

"Walaupun dalam tempoh PKP ini mereka tidak bekerja, tetapi mereka tetap mendapat gaji bulanan," katanya.


Beliau juga menyeru individu yang mempunyai pendapatan lebih serta berkelapangan dari sudut kewangan  untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

"Sepanjang tempoh PKP ini,  saya mengharapkan kepada semua warga mematuhi serta menjaga keselamatan dan kesihatan diri masing-masing.

"Arahan PKP bukanlah bertujuan menyusahkan kita, tetapi sebagai salah satu proses pencegahan bagi memutuskan rantaian penyebaran wabak ini," katanya.


Sebanyak 2,100 pek barangan keperluan disumbangkan pihak DUN Bandar dalam tiga fasa pakej rangsangan itu melibatkan 300 pek untuk fasa pertama, 300 pek (fasa kedua) dan 500 pek bagi fasa ketiga selain 1,000 pek sumbangan Parlimen Kuala Terengganu.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: