Saturday, 25 April 2020

Agihan Sumbangan 150 Pasang Telekung Di Mak Chili

SHARE

Oleh: Aminji

KEMAMAN, 25 April - Skuad Ameerah Cawangan Mak Chili dengan kerjasama ahli jawatankuasa badan bukan kerajaan (NGO) Khairunnisa’ mengambil kesempatan mengagihkan sumbangan telekung solat sempena menyambut ketibaan Ramadan.

Bertemakan ‘Seputih Telekung Seindah Ramadan’, sumbangan itu menyasarkan seramai 150 orang penerima yang terdiri daripada golongan beliawanis di sekitar Kampung Mak Chili, Kemaman.

Rata-rata penerima sumbangan adalah mereka yang kurang berkemampuan dan berusia antara 15 hingga 40 tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim ketika melepaskan konvoi skuad agihan telekung memperingatkan agar rakyat mengambil peluang meningkatkan ibadah di bulan mulia itu.


“Di bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita sama-sama mempertingkatkan ibadah kepada Allah.

"Meskipun solat sunat terawih tidak dapat dilaksanakan di masjid, ianya tetap boleh dilaksanakan di rumah bersama keluarga masing-masing," katanya.

Tambah Ab Razak lagi, beliau mengharapkan sumbangan tersebut dapat memberi semangat baharu kepada para penerima dalam melakukan ibadah kepada Allah.

Sebanyak enam buah motosikal dan 2 buah kereta terlibat konvoi berkenaan.

Agihan yang bermula seawal jam 8 pagi disampaikan sendiri oleh Skuad Ameerah Cawangan Mak Chili dari rumah ke rumah dengan mengekalkan langkah-langkah keselamatan yang disarankan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: