Friday, 24 April 2020

7,000 Kurma Diedarkan Tanda Simbolik Kasih Ramadan

SHARE

Ustaz Maliaman bersama Dato' Rosol bersama-sama menyampaikan sumbangan kurma kepada salah seorang penduduk Taman Perdana, semalam

HULU TERENGGANU, 24 April - Sempena ketibaan bulan Ramadan al-mubarak, sebanyak 7,000 pek kurma diedarkan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil sebagai simbolik untuk bersama-sama meraikan kedatangan bulan paling mulia dan penuh keberkatan ini.

ADUN Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata selain bantuan makanan asas yang telah diagihkan kepada penduduk terjejas susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, pihaknya juga turut menyediakan sedikit sumbangan berupa buah kurma untuk masyarakat di kawasan beliau.

Katanya, sebahagian kurma telah disumbangkan oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid dan sebahagiannya dari peruntukan beliau sebagai wakil rakyat.

"Kita dapat sebanyak 3,500 kotak daripada Ahli Parlimen dan kita tambah sebahagian lagi bagi memastikan semua 7,000 rumah di DUN Ajil akan memperolehinya.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan sebanyak 200 kotak kurma bersama-sama dengan Dato' Rosol di Taman Perdana Aji, petang semalam.

Tambah Maliaman lagi, keadaan tentunya amat berbeza bagi Ramadan kali ini apabila umat Islam berpuasa ketika menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

"Semoga umat Islam dapat mengerjakan ibadah puasa dan mengharungi segala ujian serta cabaran  ketika berdepan ancaman wabak Covid-19 dan arahan PKP dengan tenang dan lebih bermakna.

“Pasti ada hikmah di sebalik musibah yang melanda dunia ketika ini termasuk arahan PKP yang dikuatkuasakan kerajaan takala umat Islam sedang dalam persiapan menyambut Ramadan,” ujarnya.

Beliau berharap masyarakat terus memberi kerjasama dan mematuhi peraturan serta arahan ditetapkan kerajaan terutamanya mematuhi PKP untuk memastikan pandemik COVID-19 dapat dikawal daripada terus merebak.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: