Thursday, 12 March 2020

'Wanita Penting Dalam Pasaran Buruh Terengganu' - Zuraida

SHARE
Zuraida menunjukkan poster sempena Hari Wanita.
Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 11 Mac - Laporan yang dikeluarkan oleh The World Bank yang bertajuk “Breaking Barriers: Toward Better Economic Opportunities for Women in Malaysia” menunjukkan bahawa 60.2 peratus wanita Malaysia menyatakan bahawa kerja rumah sebagai faktor utama mereka memilih untuk berhenti kerja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata, kajian berkenaan juga memperlihatkan majoriti golongan itu telah memilih untuk menjadi suri rumah selepas menerima kehadiran cahaya mata.

"Memahami betapa pentingnya penglibatan wanita untuk menyumbang dalam pasaran buruh di Malaysia, program-program seperti “Career Comeback” adalah sangat baik dan perlu diteruskan bagi menggalakkan agar wanita yang menjadi suri rumah untuk kembali bekerja.

"Pada masa yang sama, inisiatif-inisiatif yang baru perlu terus diperkenalkan bagi memastikan suasana tempat kerja mesra ibu, seterusnya dapat membantu memudahkan wanita menguruskan keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian di dalam Program ‘Untukmu Wanita’ 2020 di Wisma Darul Iman Terengganu, semalam.

Jelasnya, tanggapan bahawa wanita yang menjadi suri rumah sebagai membunuh potensi dan bakat kepimpinan yang boleh digunakan untuk membangunkan negara perlu diperbetulkan.

"Hakikatnya, peranan wanita yang menjadi suri rumah tidak terbatas kepada pengurusan rumah semata-mata.

"Wanita merupakan tonggak kesejahteraan keluarga yang berperanan penting sebagai pendidik generasi akan datang," katanya.

Menurut Zuraida, khidmat suri rumah juga tidak wajar dihadkan kepada ruang lingkup keluarganya semata-mata.

"Suri rumah boleh melibatkan diri dalam aktivisme sosial, iaitu memanfaatkan bakat kepimpinan dengan kepedulian dan kecaknaan yang tinggi terhadap masalah-masalah ummah.

"Sekalipun jika wanita tersebut tidak bekerja, ilmu dan bakatnya boleh dimanfaatkan dalam aktiviti-aktiviti kesukarelawanan," katanya.

Oleh itu, beliau menyarankan agar Hari Wanita pada tahun ini disambut dengan semangat baru bagi memaknakan peranan kepimpinan wanita dalam keluarga dan masyarakat walaupun mereka tidak menceburi bidang politik dan pekerjaan.

"Di kesempatan ini, saya juga mengharapkan agar sambutan Hari Wanita pada tahun ini tidak dicemari dengan acara yang bercanggah dengan syarak seperti himpunan yang mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT)," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: