Thursday, 12 March 2020

Tiada Rombakan Exco Terengganu - MB

SHARE

KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu, tiada sebarang keperluan rombakan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri buat masa sekarang berikutan pentadbiran kerajaan negeri hari ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Menurutnya, bagaimanapun Terengganu bersedia melakukan penambahbaikan pada masa akan datang jika ada keperluan atau bergantung kepada situasi semasa.

“Di peringkat lain seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), ahli majlis daerah dan pentadbiran syarikat, kita akan tengok peranan yang mereka mainkan, jika ada keperluan dan perlu buat rombakan kita akan pertimbangkan.

“Bukan saya kata mesti tapi kita akan pertimbangkan ikut kesesuaian sebab ianya bukan mengenai representasi mana-mana pihak tapi kecekapan dan efektifnya 'delivery' sesebuah kerajaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Indahnya Hidup Bersyariat di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.

Katanya, jika apa yang ada itu sudah efektif, pihaknya akan teruskan dan jika sebaliknya akan dibuat penambahbaikan termasuk lakukan rombakan dan tambah kiri dan kanan supaya lebih efektif, itu 'keypoint' kita.


“Yang penting adalah servis kita tidak terencat dan berjalan dengan lancar,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahari Mamat, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zaki Wan Mohd dan Ketua Pendakwa Syarie Terengganu, Mustafar Hamzah.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata, pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional memberi manfaat besar kepada Terengganu dan Kelantan khususnya dari segi peruntukan kerana bukan lagi negeri pembangkang.

“Semua wakil rakyat negeri ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan sama dengan Pusat. Saya merancang untuk berjumpa dengan beberapa Menteri bagi membincangkan isu-isu tertentu  yang tertunggak bagi memastikan kelancaran kerajaan negeri,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: