Sunday, 1 March 2020

Terengganu FC Tumpas Aksi Pertama Liga Super 2020

SHARE
Perak berjaya rebut tiga mata dalam aksi pertama.


KUALA NERUS, 29 Februari- Terengganu Football Club (Terengganu FC) gagal memanfaatkan kelebihan di halaman sendiri apabila tumpas 1-3 kepada Perak FC dalam aksi pertama Liga Super 2020, sebentar tadi.

Bermain di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang baharu dipulihkan dengan kerjasama Malaysian Football League (MFL), tuan rumah memulakan aksi dengan melancarkan serangan ke kubu pelawat.

Seawal minit keempat, Babacar Diallo sudah menguji penjaga gol lawan, sayang tandukannya hanya melewati gawang.

Perak turut berpeluang mendahului pada minit ke-10 tetapi tendangan percuma Shahrul Saadcuma singgah ke tiang gol yang dikawal Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Penjaga gol muda Terengganu FC itu turut menyelamatkan kubu tuan rumah beberapa kali dari serangan pasukan Perak yang dilihat lebih tajam di hadapan gol.

Terengganu FC berjaya mendahului pelawat apabila Sanjar Shaakhmedov yang mendapat bola sepakan penjuru Lee Tuck merembat kencang ke dalam gawang Perak FC.

Tuan rumah hampir menjarakkan kedudukan apabila hantaran satu dua antara Faris Ramli dan Dominique Da Silva melepaskan Dominique dari kawalan lawan, namun rembatannya dinafikan Mohammad Nasrullah Abd Aziz.

Perlawanan berlangsung rancak dengan kedua-dua pasukan saling menguasai bola dan bertukar-tukar serangan.

Perak terpaksa menunggu sehingga minit ke-41 untuk menyamakan kedudukan. 

Itupun melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Guilherme De Paula setelah dia dijatuhkan Mohamad Arif Fadzilah seminit sebelumnya.

Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Bagaimanapun, babak kedua nyata berbeza.

Perak menguasai hampir keseluruhan masa kedua dan berjaya mendahului melalui tandukan deras kapten pasukan, Shahrul Saad pada minit ke-53.

Perak berjaya menjarakkan kedudukan apabila De Paula menjaringkan gol ketiga pelawat setelah menerima hantaran Firdaus Saiyadi pada minit ke-80.

Gol keempat perlawanan itu sekaligus menoktahkan kebangkitan anak buah Nafuzi Zain untuk mengutip sebarang mata.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: