Wednesday, 11 March 2020

Rasulullah Contoh Usahawan Terbaik

SHARE


Oleh : Rizauddin

DUNGUN, 11 Mac- Umat Islam khususnya yang ingin terlibat dalam bidang perniagaan perlu menjadikan Rasulullah sebagai contoh teladan.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Dungun, Mohd Amin berkata, kepandaian dan kehebatan Rasulullah dalam hal-hal yang berkaitan perniagaan telah menyebabkan ramai ahli korporat jahiliah ingin memberi baginda modal untuk berniaga.

"Jadi kita lihat apa yang sirah telah catatkan iaitu bagaimana baginda menjalankan perniagaan. Ini adalah sebab kenapa Rasulullah boleh menjadi contoh usahawan terulung kepada kita semua,'' katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Kelab Kebajikan dan  Keusahawanan Parlimen Dungun di Pejabat Parlimen Dungun, baru-baru ini.

Katanya, umat Islam sepatutnya mencontohi Rasulullah yang tidak mementingkan keuntungan semata-mata apabila berniaga.

"Kita berniaga bukan demi duit dan untung saja, malah berniaga ni kita perlu berkhidmat untuk puaskan hati pelanggan, buat mereka gembira berurusan dengan kita'', ujarnya.

Malah, beliau juga mengingatkan bahawa keikhlasan hati ketika berurus niaga akan menjadi faktor kejayaan utama dalam bisnes yang diceburi.

"Apa yang paling penting sekali, kita perlu jujur dan ikhlas dalam bisnes. Betulkan dahulu niat kita, jangan sesekali biarkan pelanggan berasa terbeban berurus niaga dengan kita,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, Rasulullah amat terkenal sehingga mendapat gelaran 'al-Amin' iaitu orang yang berwatak aman dan menyenangkan semua pihak oleh kerana sifat baginda yang mulia.

Sementara itu, mengulas mengenai tujuan penubuhan kelab berkenaan, Mohd Amin berkata ianya adalah untuk melahirkan pengeluaran produk sendiri sekaligus membantu golongan yang kurang bernasib baik terutama sekali dikalangan ibu tunggal.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: