Thursday, 12 March 2020

Projek Muara Sungai Paka Terengganu Siap 60 Peratus

SHARE
Dr Mamad Puteh (tengah) dan wakil Vista Infinity Development Sdn Bhd meninjau keadaan muara Sungai Paka di sini kelmarin.
DUNGUN, 12 Mac - Kerajaan Terengganu mengumumkan Projek Muara Sungai Paka, Dungun di sini, yang merupakan penyelesaian menyeluruh kepada masalah muara cetek dan alur pelayaran yang sempit serta sering berubah-ubah di muara sungai kini sudah siap 60 peratus.

Projek itu siap 10 peratus lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan, sebelum siap sepenuhnya pada 2021 dan membabitkan pelbagai komponen bernilai RM132.25 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, proses pembangunan yang positif untuk projek muara Sungai Paka itu mendahului jadual awal sekali gus menunjukkan kemampuan Vista Infinity Development Sdn Bhd mengurus dan menyiapkan projek demi manfaat semua pihak.

"Alhamdulillah pada pagi ini kita melawat projek pemuliharaan muara Sungai Paka Terengganu yang mana kita dapat lihat satu projek yang besar yang dibuat tiga tahun yang lepas dan insya-Allah siap pada awal tahun hadapan.



"Projek ini membabitkan belanja sebanyak RM132.25 juta. Kira-kira projek ini seharusnya 50 peratus siap tetapi kontraktor membina dan menyiapkan 10 peratus 'ahead' (ke hadapan) bermakna sekarang ini 60 peratus sudah siap," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau keadaan muara Sungai Paka di sini kelmarin.

Masalah muara cetek yang menghantui 600 nelayan dan penduduk di sekitar Sungai Paka bakal berakhir apabila projek pemuliharaan muara sungai itu yang sedang dibina, siap Mei 2021.

Dr Mamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang turut memberitahu, projek pemuliharaan itu meliputi beberapa pembinaan seperti struktur pemecah ombak (breakwater) dan benteng pemecah ombak (T-Groyne).

"Jadi kita lihat sendiri bahawa di sebelah sana ada satu breakwater sedang dalam pembinaan kira-kira dalam 600 meter panjang kemudian ada enam T-Groyne dalam pembinaan.



"Duanya telah siap sepenuhnya dan empat lagi dalam pembinaan. Kemudian kita lihat di sebelah sana ada kerja-kerja yang membuat T-Groyne di sebelah sungai dan ada juga pendalaman air ataupun muara di sebelah belakang kita ini.

"Ini adalah kerja-kerja dalam 'progress' tanpa apa-apa masalah yang berbangkit setakat ini," katanya.

Projek pemuliharaan muara Sungai Paka bertujuan mengawal hakisan pantai, mendapan di muara dan juga mencegah banjir di kawasan berhampiran muara yang sering berlaku apabila berlaku pertembungan antara air pasang besar dan hujan lebat.

Pelaksanaan projek itu sekali gus menamatkan penantian penduduk selama 30 tahun yang terhimpit dengan masalah muara cetek serta hakisan yang teruk sehingga menjejaskan sumber pencarian utama mereka.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: