Thursday, 12 March 2020

Perpustakaan Desa Kekal Relevan Untuk Masyarakat Luar Bandar

SHARE

Oleh: Ahmad Syahid Adnan

KEMAMAN, 12 Mac - Perpustakaan desa masih relevan dan berperanan untuk membolehkan masyarakat luar bandar menikmati kemudahan pembacaan dengan prasarana ilmu yang lengkap dan menyeluruh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, ia juga dapat membantu meningkatkan pencapaian pendidikan pelajar melalui penyediaan bahan-bahan tambahan dari masa ke masa.

“Kewujudan perpustakaan desa dapat membantu membangunkan minda masyarakat luar bandar melalui bahan bacaan yang disediakan.

“Kesedaran bahawa pentingnya ilmu pengetahuan di kalangan masyarakat juga dapat dipupuk melalui penubuhan pusat pembelajaran seperti ini,” ujarnya ketika ditemui di Perpustakaan Desa Kemasik, di sini semalam.


Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan enam Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kampung yang terletak berhampiran khutubkhanah tersebut.

"MPKK juga ada peranan dalam memastikan perpustakaan desa ini lebih segar dan menepati peranan dalam era transformasi, teknologi dan komunikasi maklumat masa kini," tambah Ir Saiful Azmi.


Sementara itu, Penolong Pustakawan Daerah Kemaman, Fauzilah Awang memberitahu, tujuan penubuhan perpustakaan desa adalah untuk memudahkan masyarakat menikmati kemudahan pembacaan walaupun jauh dari pusat bandar.

"Ia merupakan satu cawangan yang kecil dan sebuah pusat yang akan memberikan perkhidmatan dan memenuhi keperluan masyarakat setempat," ujarnya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: