Tuesday, 10 March 2020

Penurunan Harga Minyak Mampu Pulih Ekonomi Negara

SHARE

Oleh: Husein Husaini

KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Rata-rata rakyat Malaysia cukup gembira dengan berita penurunan harga minyak sejak 7 Mac lalu, meskipun negara baru sahaja melepasi krisis politik dan kini baru sahaja selesai pelantikan kabinet dalam membentuk kerajaan yang lebih stabil.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berpandangan penularan wabak coronavirus (COVID-19) yang menyerang seluruh dunia telah memberikan impak negatif terhadap beberapa sektor perniagaan dalam dan luar negara.

“Namun, melalui kejatuhan harga minyak ini, lebihan aliran tunai akan dikembalikan ke pasaran dengan lebih cepat sekaligus mungkin membantu pemulihan ekonomi negara.

“Saya percaya lebihan tunai yang akan dipulangkan ke dalam pasaran tempatan ini akan membolehkan sektor perniagaan yang menerima kesan negatif COVID-19 menerima manfaat besar dan memulih pada kadar yang lebih cepat,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, semalam.

Beliau yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman barisan kabinet baru semalam turut menyatakan, kerajaan kini mempunyai pelbagai isu yang perlu diambil berat seperti penilaian dan pelaksanaan pakej stimulus, insentif korporat serta semakan projek infrastruktur rakyat.

“Situasi hari ini dilihat sebagai satu permulaan untuk sebuah kerajaan yang baru berusia kurang sebulan dalam mengorak langkah untuk membangunkan negara Malaysia tercinta,” katanya.

Harga minyak direkod mencatatkan penurunan yang mendadak selepas tiga tahun sejak kali terakhir pada tahun 2017. Langkah berkenaan adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu rakyat ekoran harga minyak dunia yang telah merosot di bawah paras USD50 se tong bulan ini.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: