Tuesday, 10 March 2020

Mohon Doakan, Bantu Saya Untuk Pikul Amanah Ini - Zulkifli

SHARE
Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Mufti Wilayah Persekutuan yang juga anak jati Terengganu, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi mufti pertama di negara ini dilantik sebagai menteri.

Agamawan kelahiran Terengganu itu akan menganggotai barisan Kabinet sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan barisan anggota Kabinet baharu di bawah pentadbiran beliau.

Menurut Muhyiddin, Dr Zulkifli terlebih dahulu akan dilantik sebagai Senator bagi membolehkan beliau memegang jawatan itu.

Zulkifli menerusi posting di laman sosialnya berkata, sejurus pelantikan itu, beliau terus menuju ke Perak untuk menyampaikan Kuliah Maghrib bulanan.

“Babak pertama, episod baharu… sejurus selepas pengumuman pelantikan sebagai YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), seperti biasa, saya terus menuju ke Masjid Slim River, Perak untuk menyampaikan Kuliah Maghrib bulanan di sana.

“Saya dengan rendah hati memohon jasa baik sahabat semua untuk berterusan mendoakan agar saya dikurniakan Allah SWT kekuatan untuk memikul amanah dan kepercayaan ini sepenuh keupayaan saya,” katanya.

Selain doa, Zulkifli turut meminta agar semua pihak memberi pandangan kepada beliau dalam menerajui kepimpinan.

“Doakan saya, bantu saya dan berilah pandangan kepada saya. Kita teruskan legasi pemimpin terdahulu, membina negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama, dalam keredaanNya.Kepada Allah SWT kami berserah dan kami bertawakal,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah, Ijazah Sarjana Syariah daripada Universiti Ulum al-Islamiyyah wa al-Arabiyyah, Syria dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengkhususan pengeluaran Fatwa itu begitu disegani dan menjadi pakar rujuk dalam pelbagai isu agama sebelum ini.

Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu dan Negeri Sembilan selain terbabit sebagai penasihat syariah dalam beberapa institusi kewangan dan dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan pada Jun 2014 sehingga kini.

Zulkifli turut diberikan pengiktirafan seperti Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1433H/2012Ml, Anugerah Tokoh Ilmuan Negeri Selangor 1433H/2012M, Anugerah Tokoh Dakwah Media TV AL-Hijrah 2014, dan Ikon Integriti dan Anti Rasuah 2019 oleh Suruhanjaya Pencegahan Anti Rasuah Malaysia (SPRM).

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: