Monday, 9 March 2020

Lantikan Ahli Kabinet Berwibawa Dan Berintegriti - MB Terengganu

SHARE


KUALA TERENGGANU, 9 Mac - Kerajaan negeri  merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin atas pengumuman Jemaah Menteri Kabinet hari ini.

Menteri Besar, Dato' Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengumuman ini amat dinantikan oleh rakyat Malaysia dan Terengganu khususnya setelah menyaksikan kemelut politik yang begitu meresahkan semua pihak.

"Sudah tentu rakyat mahukan perubahan yang lebih baik dengan pelantikan Menteri Kabinet yang bukan sahaja terdiri daripada tokoh politik berpengalaman, tetapi tidak mengabaikan golongan teknokrat dan individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu.

"Pelantikan ini juga mengambil kira masyarakat majmuk Bumiputera dan Bukan Bumiputera termasuk wakil Sabah dan Sarawak turut terpilih," ujarnya dalam satu kenyataan di laman sosial rasminya hari ini.

Ahmad Samsuri berkata beliau percaya kesefahaman antara parti-parti dalam Perikatan Nasional mampu membawa Malaysia lebih berdaya saing mendepani cabaran ekonomi global terutama dunia kini berhadapan dengan wabak Covid-19 yang kian meruncing.

"Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri yang turut melantik Menteri dan Timbalan Menteri dari negeri Terengganu sekali gus dapat memantapkan hubungan federalisme antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

"Doa kami mengiringi saf kepimpinan Jemaah Menteri yang dilantik untuk memberikan perkhidmatan yang berwibawa, berintegriti dan peduli rakyat," tambahnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: