Thursday, 19 March 2020

COVID-19 : ‘Kak Da, Pesakit Tabligh Minta Al-Quran Di HHT'

SHARE



Oleh : Syazwana M.Zohir

KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Seramai 175 Pesakit Dalam Siasatan (PUI) COVID-19 sedang dirawat dan dikuarantin di Hospital Hulu Terengganu (HHT) dan kebanyakkannya terdiri daripada Jemaah Tabligh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita negeri, Zuraida Md Noor berkata keadaan di Hospital Hulu Terengganu itu agak menyedihkan, penuh sesak dengan pesakit dan memerlukan penambahan katil bagi menampung pesakit.

“Tengahari tadi (kelmarin), saya menerima panggilan daripada seorang kenalan yang bekerja di Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan ketika itu dia berada di HHT untuk memantau operasi Pusat Kuarantin COVID-19 (PKC).

“Katanya Pengarah HHT memohon bantuan kerana ada dalam kalangan Jemaah Tabligh yang diisolasi, meminta supaya diberikan al-Quran sementara pesakit daripada kumpulan kanak-kanak pula memerlukan televisyen dan makanan seperti biskut.
“Alhamdulillah, kebetulan di rumah saya ada hampir 200 naskah al-Quran dan turut menyumbang sebuah Televisyen LED 32” ,  bekalan makanan berupa biskut serta roti untuk keperluan penghuni HHT,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.

Turut bersama-sama dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi Majlis Permuafakatan Wanita Negeri Terengganu (MAWADDAH), To' Puan Zarani Othman.

Zuraida berkata tinjauan daripada wakil kerajaan negeri sebegini penting bagi menaikkan moral staf HHT serta pesakit yang ditahan di wad dalam tempoh yang lama ditambah pula dalam keadaan yang tidak optimum, sehinggakan sebahagian pesakit terpaksa ditempatkan di dalam kanvas dan dewan.

“Apa yang paling menjentik hati saya ialah apabila jururawat di sini bercerita mengenai Jemaah Tabligh. Jarang sekali mereka bertemu dengan pesakit seperti mana Jemaah Tabligh ini sepanjang mereka bertugas di hospital.

“Apabila waktu solat tiba mereka akan solat secara berjemaah dan mereka meminta al-Quran supaya mereka dapat membacanya walaupun dalam keadaan sakit. Hatta kita yang sihat ini, kadang-kadang dalam sehari belum tentu pegang al-Quran. Muhasabahlah kita bersama,“ ujarnya lagi.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya menjaga kesihatan dan kebersihan diri di samping mematuhi setiap panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan agar tidak menyesal di kemudian hari.

Tambahnya, mencegah lebih baik daripada mengubati dan beliau berharap agar masyarakat dilindungi daripada wabak COVID-19 yang sedang mengganas.

Menurut Zuraida lagi, kakitangan HHT yang bertungkus-lumus menjaga PUI, tidak sempat untuk menjamah makanan ekoran kekhuatiran para peniaga untuk menghampiri PKC tersebut bagi menghantar bekalan makanan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: