Thursday, 12 March 2020

Kabinet Baru Perlu Profesional Demi Keharmonian Rakyat

SHARE

KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Kabinet baharu dibentuk Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan kepakaran daripada pelbagai sektor diharap mampu membawa kestabilan politik dan ekonomi negara sekali gus memacu Malaysia ke landasan yang lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, beliau yakin kesemua menteri yang baharu dilantik mampu memberikan kerjasama yang baik terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menggerakkan langkah bagaimana menetukan hala tuju, polisi serta dasar untuk kepentingan negara dan rakyat.

“Kita mengharapkan barisan kabinet yang baharu ini terus kekal dengan integriti dan bersikap profesional dalam setiap tindakan dan keputusan yang dibuat serta mengamalkan politik matang demi keharmonian rakyat.

“Jangan bersikap terlalu gopoh dan ambillah pengalaman daripada kerajaan terdahulu dengan menentukan polisi dan dasar yang paling baik untuk kepentingan rakyat. Mereka akan menilai setiap keputusan dibuat kerajaan,” ujarnya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pelantikan barisan kabinet baharu di pejabatnya di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Nor berkata, berhubung dengan portfolio beliau, pembentukan kabinet baharu ini juga diharap dapat membawa lebih ruang dan peluang dalam memperkasa bidang agama dan dakwah serta memberikan satu impak yang positif kepada Kerajaan Negeri Terengganu sendiri memandangkan telah sealiran kepimpinannya.

“Walaupun dahulu negeri pembangkang, kita telah adakan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Dan sekarang apabila berada dibawah PN, kita akan teruskan kerjasama dengan harapan hubungan yang baik ini akan dapat meneruskan aktiviti keagamaan di negeri ini dengan bantuan dari segi peruntukan dan kemahiran dari peringkat pusat,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: