Tuesday, 3 March 2020

Imarahkan Masjid Baharu Dengan Aktiviti Bermanfaat

SHARE

Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 3 Mac- Penduduk Jongok Batu diharap dapat mengimarahkan Masjid Jamek Jongok Batu yang baharu dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat dan mendatangkan kebaikan.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, penduduk perlu memastikan masjid itu berfungsi sebagai sumber penyatuan masyarakat serta berperanan sebagai pusat penyebaran ilmu.

“Selaras dengan penerimaan masjid ini di bulan Rejab, adalah menjadi harapan kepada kita agar setiap penduduk beriltizam untuk meningkatkan amalan ibadat serta memastikan masjid ini akan sentiasa diimarahkan pada setiap solat lima waktu.

“Serta pengajian agama yang akan diadakan nanti akan sentiasa dihadiri penduduk seluruhnya agar mengundang keberkatan dan kemakmuran kampung, “ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Membina dan Menyiapkan  Sebuah Masjid dan Kerja-kerja Berkaitan, di masjid berkenaan, baru-baru ini.

Turut hadir, Penolong Kanan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN)Terengganu, Ahmad Feizal Haladin, Jurutera Jabatan Kerja Raya daerah, Eliza Sulfianah Mat Sepin. Timbalan PesuruhJaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Zulkefli Othman serta Pegawai Agama daerah, Shukri Faiz Jusoh.

Menurut Ghazali, masjid tersebut mula dibina pada 21 Mac 2017 dan telah siap sepenuhnya pada 5 Januari lalu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: