Monday, 9 March 2020

Empat Figura Terengganu Dilantik Sebagai Menteri

SHARE

PUTRAJAYA, 9 Mac - Barisan kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menampilkan empat figura Terengganu.

Mendahului senarai tersebut ialah bekas mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Agama.

Alumni Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Kuala Terengganu itu akan dilantik sebagai senator bagi memegang jawatan menteri kanan.

Zulkifli akan dibantu oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa dari PAS, Ahmad Marzuk Shaary, sebagai timbalan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Khairuddin Aman Razali pula diangkat sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Kementerian tersebut merupakan portfolio baharu yang diwujudkan bagi menjana pendapatan negara dengan mampan.

Terdahulu, Muhyiddin turut mengumumkan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Di samping Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim melengkapkan empat kuota selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Kabinet akan diadakan esok.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, istiadat berkenaan akan diadakan di Istana Melawati di sini jam 3 petang.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: