Sunday, 8 March 2020

Dominique Hero Terengganu FC

SHARE


KUALA TERENGGANU, 7 Mac- Dominique Da Sylva muncul hero membantu Terengganu Football Club (Terengganu FC) bangkit mencipta kejutan apabila menang 4-3 ke atas Kedah dalam aksi kedua Liga Super 2020, semalam.

Penyerang kelahiran Mauritania itu meledakkan empat gol sekali gus mencatat hatrik pertamanya musim ini dalam magis yang dijelmakan Terengganu FC.

Skuad Penyu yang berkunjung ke Stadium Darul Aman bermula dengan baik apabila memperolehi gol seawal minit ke-2 melalui Dominique yang menanduk masuk bola kiusan Faris Ramli bermula daripada sepakan sudut Lee Tuck.

Namun, situasi mula berubah apabila Kedah berjaya mencetak dua gol dalam  empat minit melaluit Renan Alves (minit ke-19) dan Kpah Sherman (minit ke-22).

Kedah mula menguasai hampir keseluruhan separuh masa pertama dan keputusan 1-2 kekal sehingga tamat separuh masa.

Anak-anak buah Nafuzi Zain mula menukar corak permainan pada babak kedua dengan menggasak kubu tuan rumah bagi menyamakan kedudukan.

Namun, Sang Helang Merah yang berjaya menembusi gawang dikawal Rahadazli Rahalim setelah bekas penyerang Penyu, Tcheche Kipre tenang menyudahkan hantaran Hadin Azman untuk gol ketiga Kedah pada minit ke-62.

Tidak menunggu lama, Terengganu FC bangkit merapatkan kedudukan di minit ke-64 dengan Dominique melakukan 'tap' mudah membolosi Ifwat.

Berbaki 10 minit terakhir dengan keadaan lebih memihak kepada tuan rumah, Terengganu FC mencipta magis melalui serangan balas yang disempurnakan gandingan Sanjar-Dominique.

Pada minit ke-82, Sanjar yang melambung jauh bola ke kawasan Kedah disempurnakan dengan gol cantik Dominique.

Selang dua minit kemudian, Sanjar sekali lagi berjaya mencari Dominique di kotak D lawan, membolehkan penyerang baharu itu melakar namanya sebagai penggempur tumpuan baru Liga Super dengan gol keempat.

Perlawanan ini menyaksikan Terengganu FC masih lagi berdepan masalah pertahanan yang melepaskan tiga gol kepada Kedah.

Dengan penjaga gawang meningkat naik, Rahadazli diusung keluar ketika perlawanan menggusarkan penyokong Sang Penyu.

Tetapi, ketajaman Dominique pastinya sedikit meyakinkan peminat Peteh Ganu Peteh  untuk aksi seterusnya.









SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: