Wednesday, 18 March 2020

COVID-19 : Virus Mampu Bertahan Di Udara Beberapa Jam

SHARE
Covid19, Foto Ehsan Goggle


WASHINGTON, 18 Mac - Virus koronavirus baharu atau Covid-19 dapat bertahan di permukaan atau udara selama beberapa jam.

Berdasarkan kajian dibiayai kerajaan Amerika itu, saintis mendapati virus itu mempunyai tahap daya maju yang sama di luar tubuh yang kemudian menyebabkan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Ini bermakna faktor jangkitan lebih tinggi antara orang yang tidak mempunyai gejala menyebabkan wabak itu menular dengan lebih cepat dan jauh lebih besar daripada wabak SARS pada 2002 hingga 2003.

Kajian itu diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England dan dijalankan oleh saintis dari Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), University of California, Los Angeles dan Universiti Princeton.

Covid-19 dapat dikesan selama dua hingga tiga hari pada plastik dan keluli tahan karat dan sehingga 24 jam pada kadbod.

Pasukan ini menggunakan nebulizer untuk mensimulasikan seseorang yang batuk atau bersin, dan mendapati virus itu dapat dikesan selama tiga jam di udara.

Kajian itu pertama kali dicatatkan pada laman web perubatan minggu lalu sebelum ia diteliti semula dan menarik perhatian termasuk beberapa kritikan daripada saintis yang mengatakan ancaman lebih menjurus ke arah udara.

Virus itu disebarkan secara meluas melalui sistem pernafasan dan terus menjangkiti beberapa saat selepas seseorang batuk atau bersin.

Bagaimanapun, saintis gagal menjelaskan mengapa pandemik itu yang menjangkiti hampir 200,000 orang dan menyebabkan hampir 8,000 kematian tersebar dengan cepat serta berskala besar berbanding wabak SARS menjangkiti kira-kira 8,000 dan membunuh hampir 800 orang.

"Ini menunjukkan perbezaan dalam ciri-ciri epidemiologi virus ini mungkin timbul daripada faktor lain, termasuk di saluran pernafasan dan potensi bagi orang yang dijangkiti SARS-CoV-2 untuk menjangkiti orang lain tanpa gejala," tulis penyelidik.
SARS-CoV-2 adalah nama teknikal untuk Covid-19.

Penemuan ini mengesahkan saranan doktor kesihatan awam mengenai menjarakkan diri, mengelak menyentuh muka selepas batuk atau bersin dan sering membasmi objek menggunakan semburan pembersih.

SUMBER: Harian Metro

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: