Monday, 23 March 2020

COVID-19 : Terengganu Umum Pakej Rangsangan Cakna Fasa 2

SHARE

KUALA TERENGGANU, 23 Mac -
Kerajaan negeri mengumumkan beberapa lagi inisiatif yang boleh meringankan impak ekonomi dihadapi masyarakat sebagai langkah keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat terus terpelihara.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya sentiasa mengambil maklum dalam memastikan tindakan yang berterusan dalam melihat kepentingan rakyat pada fasa-fasa yang seterusnya.

Katanya, fasa dua dapat memberi manfaat secara langsung dan dirasai oleh sebahagian golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Tambahnya lagi, ia juga dapat meringankan beban para peniaga yang terjejas kerana terpaksa menutup premis perniagaan mereka akibat COVID-19.

"Atas kesedaran itu, kerajaan negeri  ingin mengumumkan beberapa inisiatif fasa dua yang boleh meringankan impak ekonomi yang dialami semua pihak.

"Pengecualian Sewaan dan Bayaran dibawah seliaan Kerajaan Negeri Terengganu akan dilaksanakan bagi bulan April dan Mei 2020 bagi meringankan beban mereka yang terlibat," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu, beliau berkata kerajaan negeri bersetuju menangguhkan bayaran sewa Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Kos Rendah (RKR) dan Rumah Mampu Milik (RMM) untuk dua bulan bermula April sehingga Mei 2020.

"Pengecualian bayaran sewa premis perniagaan milik Kerajaan Negeri Terengganu bagi bulan April 2020.

"Penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran Yayasan Terengganu dan bayaran sewa bulanan Desa Keluarga Yayayasan Pembangunan Keluarga Terengganu bagi bulan April dan Mei 2020.

 "Ini juga termasuk penangguhan bayaran sewa bulanan bagi premis-premis perniagaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bagi bulan April dan Mei 2020,"tambahnya lagi.

Beliau juga berkata kerajaan negeri akan sentiasa memberi perhatian termasuk apa juga pihak yang terkesan daripada COVID-19 ini.

"Segala bentuk bantuan akan diusahakan dan diselaraskan oleh kerajaan negeri  dengan kerajaan pusat untuk meringankan beban dihadapi oleh rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: