Sunday, 8 March 2020

COVID-19 : Terengganu Manfaat Masa Bertenang, Naik Taraf Infrastruktur Pelancongan

SHARE
Ahmad Samsuri (tengah) melihat pameran pemuliharaan dan pemeliharaan habitat laut.
SETIU, 8 Mac - Kerajaan Terengganu akan memanfaatkan tempoh bertenang industri pelancongan akibat wabak COVID-19 dengan melaksanakan penambahbaikan terhadap infrastruktur di lokasi tumpuan pengunjung negeri itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehadiran pelancong yang lebih rendah berbanding sebelum ini terutama di kawasan pantai dan tempat bercuti lain membolehkan kerja menaik taraf dilakukan dengan rancak.

“Selain itu, kita juga sedang memperkemaskan strategi untuk menarik kehadiran mereka dengan menggunakan bahan pendidikan dan promosi untuk pelancong ketika mereka datang ke Terengganu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Setiu Wetlands di Kampung Mangkuk di sini semalam.

Ahmad Samsuri mengajak orang ramai bersama-sama kerajaan bagi menjaga kelestarian alam sekitar.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Zahari Md Azahar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Islamic Bank, Ahmad Shariman Mohd Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Hidupan Liar Dunia (WWF) Malaysia, Lim Chooi Kuan.

Dalam program tersebut, pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk penanaman pokok paya bakau, gotong-royong di kawasan tanah lembap serta taklimat mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar kepada komuniti setempat.

Sementara itu, Ahmad Shariman memaklumkan, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM1 juta setahun bermula tahun ini untuk mengurus dan melaksanakan inisiatif hijau di Taman Negeri berkenaan.

“Usaha ini dijangka dapat memberi manfaat jangka panjang kepada proses pemuliharaan di kawasan itu,” katanya.

Flora yang semakin hilang ditelan arus kemodenan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: