Sunday, 22 March 2020

COVID-19 : Terengganu Beri Bantuan Barangan Keperluan Harian Golongan Terjejas - MB

SHARE
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Wan Sukairi Wan Abdullah meninjau keadaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah baru-baru ini susulan penularan wabak COVID-19.
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Kerajaan Terengganu memperkenalkan bantuan barangan keperluan harian membabitkan peruntukan sebanyak RM640,000 di bawah Pakej Rangsangan Terengganu Cakna bagi menangani kesan wabak COVID-19.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri akan menyelaras pakej bantuan kepada rakyat akibat wabak COVID-19 melalui beberapa fasa yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Bantuan barangan keperluan asas itu adalah antara inisiatif Pakej Rangsangan Terengganu Cakna fasa satu yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, pakej rangsangan fasa tersebut akan memberi bantuan segera kepada rakyat yang benar-benar memerlukan berupa pakej barangan makanan seperti beras, minyak, gula, teh, sardin dan lain-lain bagi tiap-tiap keluarga.

"Bantuan akan diurus oleh pihak Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan kerjasama daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sejurus selepas mengenal pasti golongan yang benar-benar terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan virus berkenaan," ujarnya.

Kelmarin, beliau mengumumkan kerajaan negeri menyediakan insentif sebanyak RM6 juta kepada golongan terjejas berikutan penularan COVID-19.

Katanya, kerajaan negeri akan mengumumkan bentuk bantuan atau insentif kepada golongan terbabit secara berfasa berdasarkan keperluan semasa.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: