Monday, 30 March 2020

COVID-19 : Terengganu Batal Semua Bazar Ramadan

SHARE
Bazar Ramadan. Foto oleh - Tengku Syamim Tengku Ismail.

KUALA TERENGGANU, 30 Mac - Demi kemaslahatan kesihatan rakyat akibat penularan wabak COVID-19, kerajaan Terengganu telah memutuskan untuk membatalkan penganjuran bazar Ramadan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, ini disebabkan risiko berlakunya kontak rapat adalah amat besar dan akan memberi kesan kepada kebarangkalian untuk berlaku penularan semula virus tersebut.

Katanya, ia sekaligus akan merencatkan usaha kerajaan untuk membasmi wabak itu sepenuhnya.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri telah bersetuju untuk meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini membatalkan penganjuran bazar Ramadan tahun ini berasaskan kepada klasifikasi bazar Ramadan yang tidak termasuk dalam kategori 'essential services'.

"Perkara berkaitan pembatalan ini juga telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Terengganu Bagi Menangani Covid-19 pada 29 Mac 2020 yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Terengganu," jelasnya.
Dr Alias Razak.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Dalam masa yang sama, pihaknya menyarankan kepada para peniaga bazar Ramadan untuk membuat persediaan akibat pembatalan itu.

Ujarnya, beberapa alternatif boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung.

"Para peniaga disaran untuk mengusahakan pemasaran perniagaan secara dalam talian (online) selain membuat perkhidmatan penghantaran ke rumah untuk sebarang bentuk produk termasuk makanan.

"Di samping menggunakan platform seperti Grab Food, Food Panda atau yang seumpama dengannya atau boleh menjalankan apa sahaja alternatif lain yang difikirkan sesuai," cadang beliau.

Untuk rekod, Negeri Sembilan telah pun memutuskan untuk membatalkan penganjuran bazar Ramadan di semua PBT  sebagaimana pengumuman pada 26 Mac baru-baru ini.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: