Friday, 20 March 2020

COVID-19 : Sumbangan, Bantuan Perlu Melalui Pihak Hospital

SHARE
Dr. Nor Azimi.


KUALA TERENGGANU, 20 Mac- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memaklumkan bahawa Hospital Hulu Terengganu merupakan Stesen Kuarantin yang diisytiharkan melalui Warta Kerajaan Persekutuan bagi pesakit dalam siasatan (person under investigation) bagi wabak Corona Virus Disease 2019 (Covid-19).

Sehubungan itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus menegaskan bahawa sebarang urusan berkaitan bantuan dan sumbangan kepada pesakit dan anggota bertugas perlulah melalui pengurusan Hospital Hulu Terengganu.

“Pihak jabatan merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan pihak tertentu untuk menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada pesakit dan anggota yang bertugas di sana.

“Walaubagaimanapun, untuk tujuan penyelarasan, pihak jabatan memohon agar sebarang urusan berkaitan sumbangan perlulah melalui pihak pengurusan hospital dan seseorang individu atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) tidak dibenarkan membuat sebarang kutipan secara peribadi tanpa melalui pihak pengurusan hospital untuk tujuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan JKNT, hari ini.

Tegasnya, pendekatan itu bertujuan mengelakkan pihak tertentu daripada mengambil kesempatan di atas situasi yang sedang dihadapi negara hari ini.

Tambah Dr. Nor Azimi, jabatannya telah melakukan persiapan rapi bagi memastikan keperluan pesakit dan anggota yang bertugas seperti bekalan makanan, minuman dan keperluan asas yang lain mencukupi sepanjang tempoh kuarantin.

“Sebagai peringatan, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih tanpa merujuk kepada kenyataan rasmi dari JKNT dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: