Saturday, 28 March 2020

COVID-19 : 'PRIHATIN 2020 Beri Kelegaan Kepada Rakyat' - MB Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 28 Mac- Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) 2020 yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam amat melegakan sebahagian besar rakyat.

Dalam satu komentarnya terhadap pakej tersebut, beliau berkata, peruntukan sebanyak RM250 bilion merupakan satu jumlah yang amat besar dengan bermatlamatkan untuk melindungi rakyat, menyokong sektor perniagaan dan pengukuhan ekonomi.

"Walaupun jumlah sebenar mungkin kurang daripada jumlah itu kerana sebahagiannya adalah  dalam bentuk manfaat kewangan seperti penangguhan bayaran dan sebagainya.

"Tetapi, pakej ini secara umum dan khususnya amat melegakan rakyat yang terkesan akibat COVID-19 yang melanda," katanya.

Jelasnya, secara asasnya, PRIHATIN 2020 diwujudkan bagi menangani keadaan sosioekonomi yang terkesan berikutan penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

Justeru, Dr. Samsuri mengingatkan rakyat supaya memanfaatkan bantuan yang diberikan secara berhemah.

"Bantuan berbentuk 'one-off' ini memerlukan dikalangan rakyat yang terkesan untuk mempunyai perancangan dan mampu menjadi asas untuk bergerak sendiri selepas daripada ujian ini," katanya.
Beliau juga secara peribadi memuji tindakan kerajaan Persekutuan melaksanakan PRIHATIN 2020.

"Saya yakin dengan iltizam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terus komited dengan pelaksanaan yang telus, adil dan pantas terhadap sasaran rakyat tanpa mengira latar belakang politik dan kaum.
"Pelaksanaan inilah nanti yang akan dinilai oleh rakyat," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: