Friday, 27 March 2020

COVID-19 : PKC Terima Kunjungan Timbalan Menteri

SHARE


Oleh : Syazwana M.Zohir
Foto : Pok Abbas

KUALA TERENGGANU, 27 Mac – Beberapa buah Pusat Kuarantin COVID-19 (PKC) Terengganu telah menerima lawatan daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata lawatan itu melibatkan PKC di lokasi yang berbeza sekitar Terengganu.

Menurutnya, tujuan utama lawatan tersebut ialah untuk memantau keadaan di PKC tersebut di samping menyampaikan sumbangan kepada mereka.

“Dalam keadaan yang meruncing begini, wajar bagi kita untuk mengikuti secara rapat keadaan pesakit, para petugas serta semua yang terlibat dalam menangani krisis wabak COVID-19 ini.

“Kami berharap dengan adanya perhatian dan sumbangan daripada pihak kerajaan seperti ini, dapat sedikit sebanyak membantu meningkatkan moral mereka yang terlibat sebab kita tahu mereka ini semuanya telah keletihan fizikal dan mentalnya,” ujarnya.



Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.

Zuraida menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelicinan operasi PKC dan turut mendoakan agar para petugas terus kuat serta tabah dalam membantu menangani kes wabak COVID-19 di Malaysia.

Terdahulu, Zuraida mengiringi Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff ke empat lokasi PKC dalam negeri.

“Lokasi pertama kami ialah di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu yang dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh Pengarah HSNZ, Dr Amizan Mohamed.

“Kemudian kami bergerak pula ke Pusat Kuarantin Daerah Marang, seterusnya di Madrasah Kubang Bujuk dan diakhiri dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Rakit,” katanya.

Turut bersama-sama dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi Majlis Permuafakatan Wanita Negeri Terengganu (MAWADDAH), To’ Puan Zarani Othman dan staf Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Rhu Rendang.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: