Saturday, 28 March 2020

COVID-19 : Permint Granite Sumbang RM1 juta Bantu Rakyat Terengganu

SHARE
Pihak Permint Granite menyampaikan replika cek kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar.


KUALA TERENGGANU, 28 Mac- Permint Granite Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menyumbang RM1 juta sebagai menyambut inisiatif Tabung Bantuan COVID-19 Terengganu yang dilancarkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini.

Pengerusinya, Che Ghani Ambak berkata, pihaknya terpanggil untuk sama-sama membantu kerajaan negeri mengatasi masalah akibat COVID-19 di negeri Terengganu.

“Kami merasa bertanggungjawab untuk bersama-sama kerajaaan negeri membantu rakyat yang terjejas akibat daripada penularan wabak ini dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

“Kami sedar bahawa pendapatan mereka terjejas dan ini sebahagian daripada sumbangan anak syarikat kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan cek bernilai RM1 juta kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, di Tingkat 15, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Che Ghani turut anak-anak syarikat kerajaan negeri yang lain,  pihak swasta serta individu lain tampil membantu kerajaan Terengganu mengatasi masalah akibat penularan wabak pandemik COVID-19.

"Saya rasa dalam suasana begini, semua pihak terutamanya mereka yang kemampuan dan mendapat hasil yang diperolehi untuk turut membantu golongan yang kurang bernasib baik di negeri ini," katanya.

Tabung Bantuan COVID-19 Terengganu dilancarkan kerajaan negeri bagi membuka peluang kepada semua rakyat yang prihatin, penderma korporat dan syarikat swasta untuk membantu golongan yang terjejas akibat wabak pandemik itu di negeri berkenaan.

Sumbangan boleh disalurkan melalui Akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 13017010034566 atas nama Tetuan Akauntan Negeri Terengganu.

Untuk makluman, setiap sumbangan layak mendapat potongan cukai mengikut tatacata garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: