Monday, 30 March 2020

COVID-19 : Peniaga, Pengunjung Pasar Gong Pauh Perlu Patuh PKP, Elak Pasar Ditutup

SHARE
Dari kiri, Wan Sukairi, Datuk Roslee dan Ahmad Amzad meninjau antara jualan di Pasar Gong Pauh.
KUALA TERENGGANU, 30 Mac - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim memohon kerjasama peniaga dan pengunjung Pasar Borong Gong Pauh untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjaga keselamatan dan kebersihan diri selain melaksanakan penjarakan sosial sewaktu berjual beli.

“Ekoran penularan situasi di pasar ini semalam, kerajaan negeri telah berhubung dengan Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik untuk meningkatkan penguatkuasaan PKP dengan segera. Kita telah ambil langkah supaya kesesakan ini dapat dikurangkan dengan penglibatan pelbagai pihak.

“Jika ingkar, kita tidak akan bertolak ansur kerana langkah penutupan pasar adalah antara yang dipertimbangkan sekiranya tidak terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam tinjauan ke pasar berkenaan, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belila, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.

Para peniaga memaklumkan keadaan di Pasar Borong Gong Pauh.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu menegaskan, peningkatan kes COVID-19 memaksa pihak berkuasa mengetatkan PKP untuk memutuskan rantaian penularan pandemik itu.

“Pasar borong ini adalah pusat pengedaran bahan-bahan makanan mentah untuk empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu.

“Kita masih membenarkan perniagaan ini berlangsung berikutan tidak mahu memutuskan rantaian pengedaran makanan kerana akan menjejaskan orang ramai. Kerana itu, saya minta kerjasama supaya mematuhi keadaan yang dihadapi ini,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: