Friday, 20 March 2020

COVID-19 : Penguatkuasa Syariah Terengganu Pantau Masjid

SHARE
Pegawai penguatkuasa PAD dan Polis sedang melakukan tinjauan di salah sebuah masjid di Kuala Nerus.


KUALA TERENGGANU, 20 Mac- Pegawai penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus melakukan pemantauan berkala ke sekitar 136 masjid dan lebih 1,000 surau di daerah terbabit.

Pegawai Agama Daerah, Azmi Tengah memaklumkan, dengan tenaga 20 pegawai penguatkuasa di Kuala Terengganu dan 30 orang di Kuala Nerus, pemeriksaan secara berperingkat itu bermula semenjak Perintah Kawalan Pergerakan dikeluarkan dan berkuatkuasa, 18 Mac lalu.

“Kita menerima laporan beberapa masjid bertegas untuk melakukan solat Jumaat hari ini dan berdasarkan maklumat itu, kita menyusun pasukan pemantau dengan kerjasama pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Azmi Tengah.

“Alhamdulillah, tinjauan hari ini mendapati tiada perkumpulan di masjid-masjid dan rakyat mematuhi arahan yang diberikan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Jelasnya, difahamkan pegawai penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di daerah-daerah lain turut digerakkan dalam operasi itu.

Azmi turut merayu masyarakat terutamanya penduduk Kuala Terengganu supaya sentiasa mematuhi arahan pemerintah dari masa ke masa.
Pihak Polis menyampaikan arahan larangan kepada seorang penduduk yang mengakui tidak mendapat makluman tentang perkara tersebut.

“Ini kerana, kita sedang berdepan kegawatan yang menyebabkan kehilangan nyawa, jadi kita wajib taat kepada arahan dan perintah yang dikuatkuasakan untuk maslahah ummah.

“Tidak dinafikan, masih terdapat yang ingkar dan JHEAT memperuntukkan pelanggaran Seksyen 10, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu iaitu Mengingkari Pihak Berkuasa Agama yang membolehkan mereka di denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

Untuk rekod, Terengganu telah mengeluarkan fatwa untuk menangguhkan solat Jumaat di negeri tersebut sehingga 31 Mac ini, selaras Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan di seluruh negara, Rabu lalu.
Pihak Polis dan penguatkuasa disambut oleh petugas masjid yang mengawal keadaan sesuai arahan Perintah Kawalan Pergerakan. 


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: