Sunday, 29 March 2020

COVID-19 : Ingkar PKP, Pasar Borong Gong Pauh Akan Dikawal Polis

SHARE


KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil langkah lebih ketat di Pasar Borong Gong Pauh susulan situasi sesak di Pasar Borong Gong Pauh Kuala Terengganu yang tentu sekali melanggar garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) .

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata tindakan ini terpaksa diambil kerana terdapat aduan orang ramai tentang keadaan di pasar borong berkenaan.

"Susulan aduan ramai keadaan di , Kuala Terengganu, saya telah minta Tuan Abdul Rahim, OCPD Kuala Terengganu mengambil langkah perlu Perintah Kawalan Pergerakan demi keselamatan rakyat Kuala Terengganu.

"Terima kasih atas tindakan pantas PDRM sebentar tadi apabila  Ketua Polis Negeri Terengganu, Dato' Roslee Chik sendiri telah turun padang meninjau dan juga Tuan Suffian, Timbalan OCPD Kuala Terengganu yang memaklumkan kepada saya kemajuan pematuhan PKP ini," ujarnya dalam satu kenyataan di laman sosialnya hari ini.



Tambahnya lagi, walaupun pasar borong dibenarkan beroperasi dari jam 3 pagi hingga 9 pagi untuk membolehkan hasil pertanian dipasarkan dan pengguna boleh mendapatkan barangan keperluan asas namun pematuhan kepada PKP tetap menjadi keutamaan.

"Saya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah sememangnya sedang mengusahakan pembangunan semula Pasar Borong Gong Pauh ini agar lebih tersusun.

"Ia sangat penting sekiranya berlaku lagi masalah seperti COVID19 , perbekalan bahan makanan basah di Pasar Borong utama di Kuala Terengganu ini mudah diuruskan tanpa perlu berdepan kesesakan seperti ini," ujar Ahmad Amzad.

Sementara itu, Ustaz Wan Sukairi berkata beliau juga turut membangkitkan isu  kesesakan di Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri yang di pengerusikan oleh YAB Menteri Besar pagi tadi.

Justeru itu, bermula esok pihak PDRM akan mengawal di pintu masuk dan di dalam pasar terutama di bahagian jualan ikan.

"Semoga penjual dan pembeli dapat mematuhi peraturan demi kebaikan kita semua dalam menghadapi ujian COVID 19 ini.

"Asasnya ialah tiada kesesakan, jarakkan diri anda sejauh satu meter antara satu sama lain, memakai mask dan tidak bersentuhan antara satu sama lain.

"Hanya satu orang setiap keluarga sahaja. Tiada isteri/suami dan anak anak yang mengikuti," tambahnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: