Friday, 27 March 2020

COVID-19 : Pakej Rangsangan Prihatin Rakyat, Terengganu Rakam Penghargaan

SHARE
Mohd Nor Hamzah. Foto oleh - Tengku Syamim.

KUALA TERENGGANU, 27 Mac - Kerajaan negeri merakam penghargaan terhadap usaha kerajaan pusat memperkenalkan Pakej Rangsangan Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion bagi membantu orang ramai menghadapi impak COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata beliau mewakili kerajaan negeri mengucapkan terima kasih atas inisiatif secara menyeluruh kerajaan melalui beberapa bantuan.

"Inisiatif yang diumumkan mampu membantu setiap rakyat Malaysia hidup dalam keadaan tenang dan selesa," katanya ketika dihubungi pemberita.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan tersebut terdiri daripada RM128 bilion untuk kebajikan rakyat, RM100 bilion bagi menyokong perniagaan dan RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi, selain RM20 bilion dalam pakej terdahulu.

"Seperti yang saya katakan, tiada orang akan tercicir,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.

Muhyiddin berkata, tambahan RM1 bilion akan diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan, selain RM500 juta yang diumumkan sebelum ini, dengan bantuan akan diperolehi daripada hospital swasta.

Selain itu, bayaran 'one off' berjumlah RM10 bilion bagi golongan M40, petani dan perniagaan kecil-kecilan dalam sektor swasta, peneroka felda serta nelayan.

"RM1,600 untuk empat juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah dengan RM1,000 dibayar pada April dan RM600 pada Mei.

"RM800 untuk tiga juta rakyat berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapat RM2,000 dan ke bawah, dengan RM500 dibayar bulan depan dan RM300 pada Mei," jelasnya.

Tambah Muhyiddin, sejumlah RM1,000 akan disalurkan kepada 1.1 juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 hingga RM8,000, dengan RM500 dibayar bulan depan dan bakinya pada Mei.

"Di samping RM500 untuk 400,000 orang bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan RM2,000 hingga RM4,000, dengan RM250 dibayar bulan depan dan RM250 lagi pada Mei.

"Bayaran 'one off' RM200 juga akan diberi kepada pelajar di institusi pengajian tinggi pada Mei," ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: