Friday, 20 March 2020

COVID-19 : Orang Ramai Perlu Sentiasa Berwaspada

SHARE

Oleh: Rizauddin

DUNGUN, 20 Mac - Orang ramai khususnya warga Dungun disaran sentiasa berwaspada serta membuat persediaan awal ekoran penularan wabak COVID-19 ke seluruh dunia buat masa ini.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, walaupun wabak itu belum ke tahap membimbangkan di kawasan ini, namun masyarakat perlu sentiasa mengambil berat mengenai pengetahuan tentang wabak berkenaan.

Katanya, beliau menyokong penuh segala langkah diambil oleh pihak kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan yang secara berterusan menyampaikan maklumat serta info terkini berkaitan COVID-19 melalui pelbagai saluran.

"Pihak Pejabat Parlimen Dungun juga tidak terlepas dari memberi kesedaran kepada seluruh warga Dungun termasuk warga emas yang kebanyakannya tidak tahu apa sedang  berlaku di seluruh dunia sekarang.

"Apa yang penting sekarang kita perlu bersatu untuk sama-sama mencegah wabak ini, sebab itulah pentingnya kesedaran di kalangan rakyat," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pejabat Kesihatan Daerah Dungun, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar usaha kesedaran terus dilakukan dari semasa ke semasa khususnya dari petugas media agar orang ramai tahu dengan lebih terperinci berkenaan risiko wabak berjangkit ini.

Pada lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan berupa makanan kepada 70 petugas barisan hadapan pasukan pencegahan COVID-19 atas tanda solidariti dan penghargaan kerana sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: