Thursday, 19 March 2020

COVID-19 : MOSTI Beri Geran RM70 Ribu Kepada MGI Untuk Kajian Virus

SHARE

KUALA TERENGGANU, 19 Mac - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan geran berjumlah RM70 ribu kepada Malaysia Genome Institute (MGI) untuk penjujukan genom penuh serta analisa bioinformatik bagi mengesan mutasi pada genom daripada sampel COVID-19  bagi menangani wabak berkenaan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, kajian mutasi itu penting untuk proses pembangunan vaksin dan antivirus dan ia telah pun bermula beberapa bulan yang lalu.

Jelasnya, enam sampel daripada gelombang pertama jangkitan telah dapat menghasilkan penjujukan genom penuh dan selepas ini enam sampel lagi daripada kumpulan jangkitan lokal akan dikaji.

"Dalam beberapa bulan yang lalu, MOSTI telah mengeluarkan dana segera kepada MGI bagi tujuan penyelidikan ini dengan geran lebih kurang RM70 ribu pada waktu itu dan kita sedang menambah lagi peruntukan ini.

"Hasil kajian ke atas mutasi virus COVID-19, kita mendapati karakter virus itu berubah-ubah mengikut keadaan iklim," ujar Ahmad Amzad.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat lawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Terkini, MGI sedang menyediakan penjujukan genom penuh serta analisa bioinformatik bagi mengesan mutasi pada genom daripada sampel COVID-19.

Hasil penjujukan genom dari Malaysia bagi virus COVID-19 akan dideposit ke National Centre for Biotechnology Information di Amerika Syarikat yang mempunyai pangkalan maklumat antarabangsa untuk dikongsi bersama bagi membangunkan vaksin bagi jangkitan itu.

MGI merupakan sebuah organisasi penyelidikan bukan berasaskan keuntungan yang terlibat dalam penyelidikan penemuan bioresource tropika melalui projek penjujukan genom, genomik komparatif dan biologi struktur.

Setakat hari ini Malaysia merekodkan 790 kes positif COVID-19 dengan dua kematian yang melibatkan  warga tempatan. 

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: