Friday, 27 March 2020

COVID-19 : Enam Ditahan Ingkar PKP

SHARE
Datuk Roslee Chik turun padang meninjau operasi pemeriksaan oleh anggotanya susulan PKP yang dilanjutkan bagi membendung wabak COVID-19. Foto ihsan - FB Polis Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Mac - Enam lelaki ditahan selepas mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang ia dikuatkuasakan, dalam pemeriksaan di seluruh negeri Terengganu, setakat ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, pihaknya sudah melakukan enam tangkapan termasuk dua semalam.

"Keenam-enam mereka melibatkan tangkapan di daerah Dungun (2), Marang (3) dan Kuala Terengganu (1).

"Dalam pemeriksaan semalam, sebanyak dua tangkapan telah dilakukan di Marang, dekat sini, tanpa alasan munasabah," ujarnya.


Beliau berkata, tindakan itu boleh mengundang risiko penularan COVID-19, malah ada antara mereka tidak memakai penutup muka dan hidung.

“Kami ingatkan kepada semua bahawa kesalahan ini serius. Jika sabit kesalahan, denda adalah tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

“Semua yang ditahan berusia antara lingkungan 20-an hingga 40-an dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masing-masing untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Roslee Chik berkata, kesemua enam lelaki terbabit akan berdepan dengan pertuduhan di mahkamah pada Ahad ini.

“Kita sudah beri nasihat kepada orang ramai supaya duduk di rumah sepanjang tempoh PKP, namun masih ada yang tidak patuh.

“Kita akan meneruskan tangkapan sekiranya masih ada yang degil dan berkumpul di tempat awam sehingga boleh menyebabkan jangkitan berlaku,” katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: