Tuesday, 31 March 2020

COVID-19 : Elakkan Kes Keganasan Rumahtangga Semasa PKP - Zuraida

SHARE


KUALA TERENGGANU, 31 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor menyuarakan kegusarannya berkenaan masalah keganasan rumahtangga yang mungkin berlaku semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata stastik kes keganasan rumahtangga meningkat dengan mendadak sejak wabak COVID-19 menular di seluruh dunia dan tidak terkecuali di Malaysia, apabila panggilan ke Talian Kasih bertambah 57 peratus sejak PKP.

Menurutnya, di Tennesse panggilan kes keganasan rumahtangga meningkat sebanyak 55 peratus manakala di New South Wales, Australia 40 peratus, di Perancis pula 32 peratus.

“Memang benar, bagi sesetengah orang, duduk di rumah adalah seperti di neraka. Ada aduan suami pukul isteri, isteri derhaka pada suami, ibubapa pukul anak, anak tengking dan pukul ibubapa.

“Dalam hal ini, mereka akan merasa tertekan apabila duduk di rumah. Saya sendiri menerima aduan dan luahan hati seorang ibu, isteri, anak-anak dan bicara hati seorang menantu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam media sosial miliknya, kelmarin.

Zuraida turut meluahkan kesedihannya apabila mendengar pelbagai rungutan dan aduan daripada pelbagai latar belakang wanita.

“Kadang-kadang, saya rasa seperti tidak percaya dengan luahan mereka tetapi apabila melihat dengan mata kepala saya sendiri, terdiam saya seribu bahasa. Tidak tersangka, berjurai air mata, isteri mengabaikan rumahtangga, hilang hormat antara mertua dan menantu.

“Saat ujian datang menyapa, pasangan masing-masing semakin mudah melatah, sehingga menyebabkan rasa tawar hati dan bersikap kasar antara satu sama lain. Tambahan sekarang mereka teruji dengan masalah kewangan, kesusahan dan kemiskinan,” tambahnya.

Zuraida turut berpesan supaya sentiasa bermuhasabah diri, perbaiki kelemahan dan banyakkan bersabar. Hakikat kehidupan berumahtangga tidak sunyi dari ujian.

Katanya, ujian dan kesusahan yang berlaku itu terselit beribu hikmah yang akan membuatkan kita tersenyum tatkala mengetahuinya.

Beliau juga menggesa supaya keganasan rumahtangga dihentikan dan segera hubungi Talian Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di talian 15999 jika ada aduan berkaitan kes keganasan rumahtangga.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: