Sunday, 29 March 2020

COVID-19 : Beri Kepercayaan Kepada MPKK Agih Bantuan

SHARE
Dr Azman (paling kiri) bersama barisan MPKK memunggah barangan keperluan untuk diagih kepada rakyat.


Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 29 Mac – Orang ramai dinasihatkan supaya terus memberi kepercayaan terhadap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mengagihkan bantuan kepada masyarakat yang terjejas akibat COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tekanan segelintir masyarakat kepada MPKK semakin ketara terutamanya di media sosial sehingga mengganggu fokus mereka.

Katanya, pelbagai tohmahan yang dilemparkan dengan terbawa-bawa sikap buruk sangka dan tidak memberi kepercayaan kepada pemimpin setempat.

"Malah ada yang komen belum mendapat bantuan itu majoritinya adalah daripada kelompok yang berkemampuan dalam masyarakat.

"MPKK yang dikecam itu hanya dibayar elaun RM900 sahaja sebulan. Saya kesian bila yang kecam kerana tidak dapat bantuan ialah kontraktor, kita boleh menilai.

"Pengerusi dan 15 AJK MPKK diberi amanah untuk menilai sebaiknya siapa sasaran kita dalam kampung. Mereka pergi ke rumah terus untuk hantar barang bantuan," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Azman.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, agihan barang bantuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi tanpa mengisi borang permohonan terlebih dahulu bagi memudahkan rakyat, namun tuduhan lain pula yang timbul.

"Beri barang dia minta borang. Selagi tak boleh borang, selagi itu dia tidak berpuas hati. Dituduh pula kita sorok borang untuk diberi kepada anak beranak.

"Musim bencana bantuan boleh diagihkan tanpa borang. Kalau hanya yang isi borang diberi bantuan, macam mana dengan orang tua dan rakyat yang tak biasa dengan borang," soalnya.

Sementara itu, beliau mengagumi beberapa MPKK yang mengambil banyak inisiatif sendiri untuk membantu rakyat dalam kampung.

"Tetapi tentu sekali bantuan tak akan sampai ke setiap rumah kerana ini adalah bantuan dan bukannya peluang. Saya pantau secara dekat agar yang susah dibantu tanpa mengambil kira warna parti.

"Bukan tak akan dapat, cuma bantuan secara berperingkat ini dibahagikan terlebih dahulu kepada yang lebih memerlukan," tambah beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: