Friday, 20 March 2020

COVID-19 : Berasa Janggal, Tidak Dapat Solat Jumaat

SHARE


Oleh: Aslam Wira
Foto: Khairan Mat Jusoh

MARANG, 20 Mac - Pastinya berasa janggal bagi umat Islam hari ini, tidak dapat menunaikan Solat Jumaat.

Bagaimanapun atas dasar Maqasid Syariah yang menetapkan solat Jumaat di seluruh negara, termasuk Terengganu ditiadakan, arahan itu terpaksa dipatuhi.

Peraturan itu ekoran penularan kes wabak COVID-19 yang semakin serius di Malaysia sehingga menyebabkan fatwa berkaitan solat berjemaah serta aktiviti keagamaan di seluruh negara dikeluarkan pihak berwajib

Demi menjaga nyawa, dan menolak mudarat yang lebih besar, semua masjid diarahkan tutup dan lelaki yang cukup syarat dibenarkan untuk solat zohor di rumah masing-masing.

Ketua Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar), Nasaruddin Samsudeng berkata, sebenarnya sangat janggal dan sedih, kerana sebelum ini kami mengetuai operasi membanteras aktiviti ponteng solat jumaat di daerah masing-masing.

Katanya, berlainan dengan keadaan hari ini, pihaknya terpaksa melarang umat islam  mengerjakan solat jumaat, selain memastikan semua masjid di Terengganu mematuhi arahan ini.

“Skuad Amar berperanan sebagai agen kepada Sukarelawan Syariah yang dilantik baru-baru ini, kami telah turun bersama-sama untuk membantu Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membuat tinjauan dari masjid ke masjid bermula hari ini.” katanya

Menurutnya, pada hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan, kami dapati masjid dan qariah surau sudah mula mematuhi arahan pihak berkuasa dan Pejabat Agama berbanding hari pertama.

“Dengan operasi dan tinjauan yang dilakukan hari ini, kami berharap rakyat  lebih mempunyai kesedaran tentang bahayanya penyakit berjangkit ini,” tambahnya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: