Sunday, 29 March 2020

COVID-19 : AP Kuala Nerus Bantu Pengusaha Bot Penambang Terjejas

SHARE


Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 29 Mac – Pengusaha Bot Penambang Seberang Takir yang terjejas akibat tidak dibenarkan beroperasi  rentetan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata sumbangan ini  bagi membantu mereka kerana sumber pendapatan secara tidak langsung terjejas kerana mereka tidak lagi mampu mencari rezeki dalam suasana penularan COVID-19  yang sedang melanda sekarang.

"Hari ini (semalam) saya datang melawat (ahli-ahli Persatuan) Bot Penambang untuk diberikan sumbangan bersempena dengan suasana COVID-19 yang berlaku sekarang.

“Sumbangan kepada ahli-ahli Bot Penambang ini bukanlah kali pertama dibuat kerana saya selalu memberikan sumbangan kepada mereka pada bulan Ramadhan dan pada keadaan-keadaan tertentu pun turut diberikan bantuan," ujarnya.



Dr Khairuddin yang juga merangkap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata demikian kepada pemberita setelah  menziarahi dan menyalurkan sumbangan berupa wang tunai kepada 18 Pengusaha Bot Penambang Seberang Takir di jeti penambang, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seberang Takir, Abdul Halim Che Ibrahim.

Tambah Dr Khairuddin lagi, sumbangan kali ini adalah rantaian sumbangan beliau kepada pengusaha bot penambang yang akan diteruskan dari semasa ke semasa.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: