Wednesday, 11 March 2020

Bantuan Kanopi Mudahkan Mariani Berniaga

SHARE



Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 11 Mac- Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi telah membantu Mariani Ahmad, 35, dengan pemberian kanopi bagi memudahkan dia menjalankan perniagaan menjual air agar keluarganya mempunyai pendapatan yang lebih stabil.

Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, Mariani yang dibelenggu kesusahan hidup berminat untuk menjalankan perniagaan.

Justeru, pihaknya segera menyerahkan kanopi setelah menerima aduan daripada wanita itu.

Sementara itu, Mariani yang kini menjual air kelapa dalam balang di simpang buah Bukit Besi berkata, mereka sekeluarga tidak akan mensia-siakan bantuan yang diberi dan berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan nasib mereka.


“Demi meneruskan kehidupan saya bertekad dan cuba berusaha untuk keluar daripada kesusahan ini dengan berniaga, tambahan pula suami Rosmani Kamalrudin ,40, terlibat didalam kemalangan sebulan lalu serta diberi cuti sakit dari bekerja mengambil upah di salah sebuah kedai tayar disini.

“Pada mulanya, dengan modal yang dipinjam daripada rakan sebanyak RM300 saya menjual air dengan meminjam kanopi daripada rakan tetapi dengan adanya kanopi baru ini tidak perlu lagi saya meminjam.

“Alhamdulillah setelah dua minggu berniaga, dengan pendapatan yang diperolehi dapatlah penuhi keperluan anak ke sekolah, bayar bil elektrik, air dan sebagainya serta membuat pusingan modal dengan membeli kelapa daripada pembekal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita di tapak perniagaanya, di Bukit Besi, hari ini.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: