Monday, 9 March 2020

Amzad Janji Beri Perkhidmatan Terbaik Untuk Rakyat

SHARE


KUALA TERENGGANU, 9 Mac - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik dalam meneruskan hala tuju kementerian itu dalam memperkasa bidang sains, teknologi dan inovasi di negara ini.

Sambil menyifatkan pelantikan itu tidak diduga, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kepimpinan parti di atas kepercayaan yang diberikan itu.

Menurutnya,  beliau  menerima tanggungjawab yang diamanahkan itu dalam kedudukan ekonomi negara dan global yang mencabar di samping situasi negara yang sedang berhadapan dengan COVID-19.

"Mengenai gandingan saya dengan Khairy Jamaluddin, kami ada kerjasama yang baik sebagai pembangkang di parlimen dan mempunyai hubungan yang baik dengan beliau.

"Malah saya difahamkan pelantikan saya itu melalui senarai nama yang telah dikemukakan oleh pihak parti , maka ia satu amanah yang akan dilaksanakan dengan cara yang terbaik demi rakyat dan juga demi kepentingan parti saya.

"InsyaAllah dengan pelantikan ini,
saya juga akan memainkan peranan untuk membawa pembangunan yang sewajarnya ke negeri kita, Terengganu, "katanya ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman ( UPDI) hari ini.

Ketika diminta mengulas tentang pengumuman kabinet hari ini, Amzad berkata Perdana Menteri sangat memperhalusi berhubung dengan pelantikan ahlinya.

"PM tidak mengehadkan pilihan dari kalangan ahli politik sahaja tetapi memasukkan kalangan profesional di dalamnya.

"Saya lihat dari segi  persembahan mengikut Wilayah, dari Sabah , Sarawak, pelbagai parti dikalangan komposisi lelaki dan perempuan di mana semua itu diambil kira,"ujarnya lagi.

Beliau juga cukup teruja apabila PM menitik beratkan tentang kualiti setiap yang dilantik , dari segi kelayakan, pengalaman dan sebagainya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: