Monday, 10 February 2020

Ziarah Mingguan Platform Selami Hati Rakyat

SHARE


Ustaz Hilmi bertanyakan khabar kepada salah seorang penduduk dalam program ziarah mingguan


Oleh: Ahmad Mawardi

MANIR, 9 Februari  - Nasib penduduk yang uzur dan memerlukan bantuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir  dalam usaha membantu penduduk di kawasan ini mendapat pembelaan sewajarnya menerusi program ziarah secara mingguan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, program berkenaan adalah hasil kerja keras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS) Manir yang aktif turun padang untuk mengenalpasti penerima yang layak.

Katanya, ziarah berkenaan juga sebagai tanda prihatinnya dengan nasib penduduk selain platform untuk merapatkan silaturahim antara pemimpin dan orang kampung.

Menurutnya lagi, pada masa sama beliau turut berkesempatan mendengar keluhan mereka.
“Ziarah kasih menjadi platform kepada saya untuk turun padang dan bertemu penduduk dalam DUN ini.
"Biasanya kami akan turun ziarah warga emas dan mereka yang uzur. Sebagai buah tangan dan tanda ingatan, kami akan sampaikan sedikit sumbangan kepada mereka,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas selesai menziarahi lima rumah yang terdiri daripada penduduk yang uzur sekitar kampung Kubang Tepak Manir.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Masyarakat I-MITS Manir, Razali Mamat berkata, mereka menerima banyak aduan dan permohonan untuk mendapatkan bantuan dan sumbangan.


"InsyaAllah kami akan sedaya upaya memenuhi hajat pemohon mengikut kemampuan kami.

 “Jika ada di antara mereka yang memerlukan bantuan dan sebagainya, kita akan ambil perhatian.
“Ini antara jalan dan kaedah terbaik untuk terus membela nasib penduduk dalam DUN Manir,” katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: