Tuesday, 11 February 2020

UNITEN Juara SUMZOT 2020

SHARE
Satiful bergambar bersama semua atlet yang bertanding. Foto oleh - Amirullah Mansor
KEMAMAN, 10 Februari - Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Pahang muncul juara Kejohanan Sukan Masiswa (Majlis Sukan Institusi Pengajian Tinggi Swasta Malaysia) Zon Timur (SUMZOT) 2020 yang berakhir, kelmarin.

Berlangsung di University College Terengganu Advanced Technical Institute (UC TATI), Kemaman, UNITEN berjaya mengutip 7 emas, 2 perak dan 4 gangsa dengan jumlah 13 pingat melalui 11 jenis sukan dan 12 acara yang dipertandingkan sepanjang empat hari kejohanan.
 
Ketua kontinjen UNITEN menerima piala kejohanan SUMZOT 2020.
Paling menarik, institusi tersebut turut mencatat sejarah tersendiri apabila muncul juara SUMZOT buat kali keempat berturut-turut sejak tahun 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat ketika merasmikan penutup kejohanan, merakamkan ucapan tahniah kepada para pemenang yang meraih pingat SUMZOT.
 
Satiful Bahri.
“Alhamdulillah, tahniah juga kepada UC TATI yang dipilih sebagai tuan rumah tahun ini dengan penyertaan peserta teramai kali ini iaitu seramai 1,061 atlet.

“Moga tercapai segala matlamat dan hasrat untuk membina generasi mahasiswa di pantai timur yang lebih baik,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program, kelmarin.

Sementara itu, Profesor Dr. Anuar Ahmad turut mengambil kesempatan pada Majlis Penutup SUMZOT untuk merakam rasa terima kasih kepada kerajaan negeri kerana membantu menaja penganjuran kejohanan tersebut.
 
Dr. Anuar Ahmad.
Jelasnya, ia merupakan usaha yang besar dalam membantu golongan mahasiswa menimba pengalaman dan ilmu baharu.

Kenyataan tersebut juga disokong Presiden Masiswa, Profesor Dr. Zamri Yusoff yang menyifatkan kejohanan tersebut sebagai platform untuk pembangunan bidang sukan di kalangan pejalar Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
 
Dr. Zamri.
“Ia adalah salah satu usaha kita mendukung hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk menyediakan atlet yang akan bertanding dalam dua sukan besar iaitu Kejohanan Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Sukan Universiti Asean yang akan berlangsung di Thailand tahun ini,” katanya.

SUMZOT kali ini merekodkan penyertaan 1,061 atlet, 139 pegawai daripada 17 kontinjen terdiri daripada IPTS dan sekaligus merupakan penyertaan terbesar sejak ia diadakan.

Atlet UNITEN bersorak kegembiraan ketika diumum sebagai juara kejohanan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: