Wednesday, 12 February 2020

Tujuh Perdana Menteri Hiasi Dinding Dewan Tunku Abdul Rahman Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Orang ramai yang melalui Dewan Tunku Abdul Rahman di sini, pasti terpegun melihat mural potret tujuh Perdana Menteri Malaysia menghiasi dinding bangunan itu.

Potret hitam putih tujuh Perdana Menteri itu dilukis dan disiapkan empat anak jati Terengganu diketuai Raja Badruddin Hakim Shah Raja Kamarul Bahrin (Ku Bad), 34, Wan Ansri Nizam Wan Ismail (Obi Wang), 37, Zulkarnain Abd Latif (Joe Janggot), 40, dan Mohd Fahmi Abdullah Sani (Moc), 31.

Potret Perdana Menteri terdiri daripada Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad disiapkan dalam tempoh 28 hari.

Ku Bad berkata, mereka rasa bertuah kerana diberi tanggungjawab menyiapkan tujuh mural potret Perdana Menteri Malaysia pada dinding bangunan berusia 47 tahun itu.

“Dewan itu antara bangunan paling lama di negeri ini dan dirasmikan Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak pada 3 Mei 1973.

“Oleh itu kerja-kerja menyiapkan potret tokoh perdana menteri di bangunan itu dijalankan dengan rasa bertanggungjawab dan penuh penghormatan.


“Kami siapkan mural itu bermula jam 3 petang hingga 11 malam bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.

Tambahnya, mural yang paling tinggi adalah potret Perdana Menteri keempat, Tun Mahathir Mohamad yang terletak di kedudukan paling tengah iaitu lebih 10 meter.

“Potret yang paling mencabar untuk disiapkan adalah potret Tun Abdul Rahman Putra Al Haj yang mengenakan tengkolok bersongket.

“Bagaimanapun semua potret mempunyai cabaran dan kesukaran tersendiri namun selepas disiapkan, kesemuanya memberi kepuasan yang paling maksimum,” katanya.

Sementara itu, Penolong Jurutera Bahagian Bangunan dan Elektrikal MBKT, Mohd Tarmizi Mohd Yusof berkata, idea menghiasi dewan itu dengan mural tujuh Perdana Menteri dicetuskan oleh Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok.

“Harapan MBKT supaya dengan adanya mural yang menghiasi bangunan itu akan menceriakan lagi suasana di dalam bandaraya.

“Selain diharap akan menjadi penarik seterusnya merancakkan semula penggunaan dewan tertua itu dengan penganjuran pelbagai program di negeri ini,” katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: