Tuesday, 18 February 2020

'Tolong Simpan Label Benih Padi' - Dr Azman Ibrahim

SHARE
Azman Ibrahim.


Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 18 Februari – Petani di seluruh Terengganu diingatkan agar menyimpan setiap label benih padi yang digunakan sebagai persediaan sekiranya berlaku sebarang permasalahan di masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, maklumat tertera pada label tersebut amat penting untuk dijadikan bahan rujukan dan bukti.

“Kita selalu terima aduan yang berkaitan dengan masalah benih padi. Jadi, kita minta dijadikan amalan supaya mencabut terlebih dahulu label pada guni itu dan simpan baik-baik.

“Jangan rendam sekali dengan label itu kerana apabila padi bermasalah dan mahu membuat aduan, segala maklumat pada kertas itu diperlukan,” katanya.
Bergotong-royong bersama komuniti.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gotong-Royong Komuniti di Skim Pengairan Gong Telikong dan Bukit Jeruk, Jabi hari ini.

Katanya, di Malaysia hanya terdapat sembilan syarikat pengeluar benih padi yang diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Tambahnya, kerajaan negeri menumpukan bidang penanaman padi kerana pengeluaran tanaman itu di Terengganu belum mencapai tahap yang diperlukan oleh rakyat.

“Iaitu hanya 43 peratus sahaja. Ia separuh daripada keperluan. Dalam erti kata lain kita terpaksa import beras luar untuk keperluan rakyat kita.

“Mudah-mudahan Allah merahmati kita dengan mengurniakan rezeki, menjauhkan kita daripada bencana dan bala yang boleh mendatangkan kerugian pada kita,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: