Tuesday, 4 February 2020

Tiga Elemen Jayakan Kerajaan Rakyat - Wan Sukairi

SHARE


KUALA TERENGGANU, 4 Februari - Tiga elemen iaitu ketenteraman, keamanan dan kestabilan menjadi teras utama dalam menjayakan kerajaan rakyat dan menjadi asas kepada keharmonian serta kekuatan negeri di bawah Kerajaan PAS selepas diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, apabila berjaya mengambil alih kerajaan pada 9 Mei 2018, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengisytiharkan kerajaan yang akan diwujudkan adalah kerajaan rakyat.

Justeru itu katanya, pihak kerajaan negeri terus bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan.

"Dalam tempoh setahun, kerajaan negeri berjaya melaksanakan 13 daripada 20 manifesto yang telah dijanjikan dahulu.

"Ini sebagaimana kata-kata Menteri Besar Terengganu iaitu kita akan pulangkan kepada rakyat apa yang diperlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan  Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Kuala Terengganu di tapak pasar pagi Kampung Tiong, di sini hari ini.

Wan Sukairi mengagihkan Ang Pau kepada kaum Tiongha yang hadir ke Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Kampung Tiong.
Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed dan ADUN Wanita, Zuraida Mohd Noor.

Hadir sama, ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam kepada Menteri Besar, Dr Balachandran Gopal Krishnan dan wakil-wakil pertubuhan kaum Tiongha.

Tambahnya, Kerajaan PAS akan terus menunaikan apa yang telah dijanjikan dan tekad untuk melaksanakannya.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, sebanyak 1,000  'Ang Pau' turut diagihkan kepada orang ramai yang hadir bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: