Friday, 14 February 2020

THT Kenduri Gol Belasah Hockademy KL

SHARE

Faizal melakukan gelecekan menarik sebelum menjaringkan gol.

KUALA TERENGGANU, 14 Februari - Selepas menundukkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tempoh hari, Pasukan Hoki Terengganu (THT) meneruskan aksi cemerlang dengan membelasah pasukan Hoki Akademi Kuala Lumpur (Hockademy KL) 6-0 dalam saingan TNB Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Buruk, sebentar tadi.

THT yang sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala TNB yang akan berlangsung Rabu depan bermula garang dengan melancarkan serangan pantas ke kubu Hockademy KL.

Hasilnya, pada minit keenam, pemain muda THT, Muhamad Shahrin Izzuddin Shamsuri yang tidak dikawal berjaya meledak gol pembukaan selepas menerima hantaran cantik daripada Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee.

Tersentak dengan gol THT, anak buah kendalian Selvaraju Sandrakasi cuba mengubah permainan dengan melancarkan serangan balas ke pintu gol THT.

Namun pertahanan Terengganu yang dikawal Jung Manjae tenang mengawal asakan, kedudukan 1-0 kekal hingga tamat suku pertama.
Pemain Hockademy KL bertahan selepas diasak THT.

Bersambung suku kedua, pada minit ke-26, THT mendapat pukulan sudut penalti selepas bola terkena kaki pemain Hockademy KL dan peluang itu tidak disia-siakan oleh Jang Jong Hyun untuk menggandakan jaringan.

Perlawanan terus berlangsung rancak dengan THT dilihat lebih merbahaya ketika melakukan serangan

Pada minit ke-35, Jang terus menjarakkan kedudukan THT selepas menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti bagi memastikan skuad Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu selesa dengan tiga gol di depan.

Jaringan itu ternyata melemahkan semangat skuad ibu kota apabila THT semakin selesa menguasai permainan dengan melakukan asakan ke kubu pelawat dan hasilnya pada minit ke-56, gol keempat berjaya dijaringkan menerusi sentuhan Muhammad Umar Bhutta.

Berselang empat minit kemudian, THT terus mengganas dengan serangan bertali arus ke pintu gol yang dikawal oleh Mohd Safiuddin Sahrom.
Fitri Saari memperdaya dua pemain Hockademy KL.
Bagaimanapun penjaga gol Hockademy KL itu gagal menafikan gol kelima Terengganu selepas sungkitan bersahaja Faizal Saari menambah derita pasukan di tangga terbawah liga.

Ketika permainan dijangka berkesudahan dengan 5-0, Jang membuktikan kehebatannya dengan melengkapkan hatrik, gol itu dijaringkan sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti pada 10 saat sebelum wisel penamat.

Perlawanan terakhir liga menentang Maybank Ahad ini akan menjadi perlawanan penentuan sama ada THT akan menamatkan saingan di tangga kedua atau ketiga.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: